Sebelum ini kita dah teliti takrifan kesihatan.

Sekarang kita akan dalami benda-benda yang menentukan kesihatan kita. Secara sepintas lalu kita dapat fikirkan beberapa penentu kesihatan ini: seperti sikap dan tingkah laku kita dalam menjaga kesihatan sendiri, dan mudah atau tak untuk kita mendapatkan perkhidmatan kesihatan.

  • Sikap dan tingkah laku kita: Cara pemakanan kita, adakah kita aktif atau tidak, merokok (besar faktor ni), pengambilan alkohol, dan cara kita mengurus stres dan cabaran hidup sudah tentu boleh mempengaruhi kesihatan.
  • Kemudahan untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan: Betapa mudahnya untuk mendapatkan perkhidmatan kesihatan seperti, perkhidmatan klinik, doktor pakar, pergigian, rehabilitasi, kesihatan mental, vaksin dan lain-lain memberi kesan kepada tahap kesihatan populasi itu. Tinggi ke kosnya untuk mendapatkan rawatan? Jauh ke perjalanan untuk pergi ke hospital pakar?

Namun begitu, ada beberapa penentu kesihatan lagi yang mungkin tidak ketara atau selalu kita fikirkan.

Berpuluh-puluh tahun dahulu, seorang doktor dari Scotland yang bernama Thomas McKeown telah mengkaji data epidemiologi yang merangkumi beratus-ratus tahun sebelum 1960-an. Dia dapati tahap kesihatan populasi yang dikaji telah meningkat dengan ketara, walaupun perkembangan ilmu, penemuan dan teknologi perubatan pada jangka waktu itu tidaklah begitu hebat. Rawatan moden seperti antibiotik dan unit rawatan rapi tidak wujud lagi pada masa itu. Dr McKeown membuat rumusan bahawa faktor-faktor lain yang banyak menyumbang kepada peningkatan tahap kesihatan ini. Faktor-faktor ini juga dikenali sebagai penentu kesihatan.

Penentu kesihatan atau determinants of health ini termasuklah:

  • Pendapatan dan status sosial: Antara penentu kesihatan yang paling penting. Secara amnya, semakin tinggi pendapatan dan status sosial seseorang itu dikaitkan dengan kesihatan yang lebih baik
  • Pendidikan: Pendidikan yang rendah dikaitkan dengan kesihatan yang rendah, lebih banyak stres dan keyakinan diri yang rendah.
  • Persekitaran: Air minum dan udara yang bersih, tempat kerja, rumah dan komuniti yang selamat semuanya menyumbang kepada kesihatan yang baik.
  • Pekerjaan: Mereka yang bekerja lazimnya akan lebih sihat daripada mereka yang tidak. Involuntary unemployment, atau pengangguran terpaksa menunjukkan kesan negatif kepada kesihatan mental dan fizikal.
  • Rangkaian sokongan sosial: Sokongan yang baik daripada ahli keluarga dan jiran tetangga dikaitkan dengan kesihatan yang lebih baik. Kajian telah menunjukkan, kanak-kanak yang membesar dengan kedua-dua ibu bapanya akan menunjukkan tahap pembesaran, pencapaian dan kesihatan mental yang lebih baik berbanding kanak-kanak yang membesar dengan hanya seorang ayah atau ibu.
  • Budaya: Budaya dan tradisi dapat memberi kesan kepada kesihatan dalam jangka panjang.
  • Genetik: Warisan genetik boleh menyumbang kepada jangka hayat dan kecenderungan untuk mendapat sesetengah penyakit.
  • Jantina: Lelaki dan wanita lebih berisiko untuk menghidapi penyakit yang berlainan pada peringkat umur yang berbeza.

Sebenarnya, lebih banyak lagi penentu kesihatan lain yang boleh kita fikirkan. Contohnya, sektor pengangkutan (kadar kemalangan, kecekapakan pengangkutan awam, pencemaran udara dan bunyi misalnya), sektor pertanian (keterjaminan makanan, penggunaan racun atau pembalakan yang tidak terkawal), sektor perumahan (kemudahan untuk mendapatkan rumah, spesifikasi minimum pembinaan rumah), pengurusan sisa (betapa cekap sesuatu komuniti itu mengurus pembuangan sisa domestik dan industri), sektor tenaga (hasil pencemaran tinggi atau tidak), sektor perindustrian (cara pekerja menguruskan kebajikan pekerja, pengurusan sisa kimia) dan urbanisasi (perancangan bandar yang cekap, pengangkutan awam, ruang hijau).

Jadi, apa faedahnya untuk kita tahu semua penentu kesihatan ini?

Jelas sekali, daripada contoh-contoh di atas, penentu kesihatan ini berkait rapat dan mempengaruhi antara satu sama lain. Bagi setiap individu, kesan kepada penentu kesihatan ini akan berbeza. Dan apabila kita berusaha memperbaiki satu penentu kesihatan, penentu kesihatan yang lain mungkin dapat diatasi juga, seterusnya menyumbang kepada kesihatan yang lebih baik.

Dengan mengambil tahu penentu kesihatan yang pelbagai ini, kita akan sedar bahawa hanya beberapa di bawah kawalan seseorang individu itu, dan banyak merupakan di luar kawalan individu tersebut dan memerlukan usahasama daripada komuniti dan pembuat dasar.

Tambahan pula, kita dapat menghargai bahawa punca untuk mendapatkan kesihatan komuniti adalah pelbagai dan merangkumi pelbagai sektor, bukan hanya sektor kesihatan semata-mata. Oleh itu, kita semua harus sedar bahawa untuk satu komuniti itu menjadi lebih sihat, tindakan yang perlu dilakukan bukan hanya untuk membina lebih banyak fasiliti kesihatan seperti hospital dan klinik semata-mata, malah usaha perlu lebih menyeluruh dan melibatkan semua.

Rujukan

World Health Organization. (2017, February 3). Determinants of Health. World Health Organization. https://www.who.int/news-room/questions-and-answers/item/determinants-of-health

Institute of Medicine (US) Committee on Using Performance Monitoring to Improve Community Health; Durch JS, Bailey LA, Stoto MA, editors. Improving Health in the Community: A Role for Performance Monitoring. Washington (DC): National Academies Press (US); 1997. 2, Understanding Health and Its Determinants. Available from: https://www.ncbi.nlm.nih.gov/books/NBK233009/

Braveman P, Gottlieb L. The social determinants of health: it’s time to consider the causes of the causes. Public Health Rep. 2014 Jan-Feb;129 Suppl 2(Suppl 2):19-31. doi: 10.1177/00333549141291S206. PMID: 24385661; PMCID: PMC3863696.