Health / Kesihatan

Semua orang nak sihat.

Tapi apa maksudnya kesihatan? Adakah kesihatan itu sekadar tak sakit? Cuma bebas daripada penyakit?

Maksud kesihatan

Menurut perlembagaan Pertubuhan Kesihatan Dunia (WHO), kesihatan ditakrifkan sebagai suatu keadaan kesejahteraan menyeluruh jasmani, pemikiran (mental) dan sosial; dan bukan sekadar ketiadaan penyakit atau kelemahan.

Oleh itu, berdasarkan takrifan ini, seseorang itu mungkin mempunyai tubuh badan yang tidak berpenyakit, namun, kalau pemikirannya tak tenang atau dia senantiasa dalam keadaan stres, atau hubungan dia dengan ahli keluarga tak baik, atau dia berasa sunyi kerana tidak dapat menjalinkan hubungan dengan sesiapa; orang itu mungkin tidak mempunyai kesihatan yang menyeluruh.

Ada yang mengatakan bahawa takrifan kesihatan di atas mungkin juga tidak lengkap. Faktor kerohanian atau spirituality mungkin boleh didebatkan sebagai satu lagi faktor penting yang menyumbang kepada kesihatan menyeluruh seorang insan.

Bagaimana pula dengan faktor kewangan?

Nilai kesihatan

Piagam Ottawa 1986 yang mempopularkan konsep promosi kesihatan memberi gambaran tambahan terhadap peranan kesihatan kepada seorang manusia.

“Kesihatan dilihat sebagai sumber untuk menjalani kehidupan seharian, bukanlah sebagai matlamat hidup. Kesihatan ialah konsep positif yang menekankan sumber sosial dan peribadi, termasuklah kebolehan fizikal.”

Piagam Ottawa 1986

Penutup

Akhir kata, kenapa kita perlu tahu takrifan kesihatan?

Mudah saja. Apa yang boleh ditakrifkan, boleh diikhtiarkan dan diusahakan.

Rujukan

World Health Organization. (1995). Constitution of the World Health Organization. “Health is a state of complete physical, mental and social well-being and not merely the absence of disease or infirmity.”

World Health Organization. (2021). The 1st international conference on health promotion, Ottawa, 1986. “Health is, therefore, seen as a resource for everyday life, not the objective of living. Health is a positive concept emphasizing social and personal resources, as well as physical capacities.”