Kanser atau barah ialah antara Top 3 penyebab kematian di negara kita dan juga di seluruh dunia. Anda mesti nak tahu jenis kanser yang paling kerap dikesan di kalangan rakyat Malaysia kan?

Daftar Kanser Kebangsaan

Tahukah anda Malaysia mempunyai Registri Kanser Kebangsaan yang mengumpul data mengenai kes kanser di negara kita sejak tahun 2007? Mereka mengumpul dan memproses data mengenai kejadian kanser dari hospital-hospital termasuk hospital universiti, kerajaan dan swasta. Seterusnya mereka menghasilkan laporan setiap 5 tahun sekali. Data yang dikumpul termasuklah bilangan kes, jenis kanser dan pada tahap mana kanser itu telah dikesan. Baru-baru ini mereka menerbitkan “Summary of the Malaysia National Cancer Registry Report 2017-2021”.

Dapatan Kajian

Dalam tempoh 2017-2021 ini, 10 jenis kanser yang paling kerap dikesan di kalangan rakyat Malaysia ialah:

  1. Kanser payudara (17.6%)
  2. Kanser kolorektal (14.1%)
  3. Kanser paru-paru (10.1%)
  4. Limfoma (5.2%)
  5. Kanser hati (4.9%)
  6. Kanser prostat (3.8%)
  7. Leukemia (3.7%)
  8. Kanser nasofarinks (3.1%)
  9. Kanser rahim (3%)
  10. Kanser ovari (2.8%)

Kalau dipecahkan kepada jantina, berikut adalah 10 jenis kanser yang paling kerap dikesan di kalangan lelaki:

  1. Kanser kolorektal (18.8%)
  2. Kanser paru-paru (16%)
  3. Kanser prostat (9.3%)
  4. Kanser hati (8.4%)
  5. Limfoma (6.9%)
  6. Kanser nasofarinks (5.1%)
  7. Leukemia (4.9%)
  8. Kanser kulit bukan melanoma (3.5%)
  9. Kanser perut (3.4%)
  10. Kanser pankreas (3.0%)

Kanser kolorektal ialah kanser yang paling kerap dikesan di kalangan lelaki.

Dan berikut pula adalah 10 jenis kanser yang paling kerap dikesan di kalangan wanita:

  1. Kanser payudara (38.9%)
  2. Kanser kolorektal (13.7%)
  3. Kanser paru-paru (7.4%)
  4. Kanser rahim (6.7%)
  5. Kanser ovari (6.2%)
  6. Kanser pangkal rahim (6.0%)
  7. Limfoma (4.9%)
  8. Kanser tiroid (4.2%)
  9. Leukemia (3.9%)
  10. Kanser hati (2.9%)

Kanser payudara ialah kanser paling kerap dikesan di kalangan wanita.

Risiko Hayat

Dokumen ini juga telah melaporkan risiko hayat atau lifetime risk untuk menghidap kanser. Dokumen ini mendefinisikan ‘risiko hayat’ sebagai risiko seseorang individu menghidap kanser sebelum umur 75 tahun dengan ketiadaan penyebab kematian yang lain.

Menurut laporan, dari tahun 2017 hingga tahun 2021, risiko hayat untuk kedua-dua lelaki dan perempuan ialah 1 dalam 8 atau 12.5%.

Dapatan Terpilih

  • Kanser kolorektal ialah kanser yang paling kerap dikesan di kalangan lelaki. Semakin meningkat umur, semakin banyak kes dikesan. Peratusan yang dikesan pada tahap lewat (Tahap 3 & 4) ialah 74.9%.
  • Kanser paru-paru ialah kanser kedua paling kerap dikesan di kalangan lelaki. Semakin meningkat umur, semakin banyak kes dikesan. Peratusan yang dikesan pada tahap lewat (Tahap 3 & 4) ialah 95.4%.
  • Kanser payudara ialah kanser paling kerap dikesan di kalangan wanita. Semakin banyak kes dikesan bermula dari umur 40 tahun. Peratusan yang dikesan pada tahap lewat (Tahap 3 & 4) ialah 50.5%.
  • Kanser kolorektal ialah kanser kedua paling kerap dikesan di kalangan wanita. Semakin meningkat umur, semakin banyak kes dikesan. Peratusan yang dikesan pada tahap lewat (Tahap 3 & 4) ialah 74.4%.

Rumusan

  • Kanser paling kerap dikesan di Malaysia ialah kanser payudara, diikuti dengan kanser kolorektal dan kanser paru-paru.
  • Banyak kanser telah dikesan pada tahap lewat, iaitu Tahap 3 dan 4.

Baca laporan penuh untuk meneliti dapatan-dapatan lain dengan lebih lanjut.

Rujukan

Institut Kanser Negara. (2024). Summary of The Malaysia National Cancer Registry Report 2017-2021. National Cancer Institute, Ministry of Health: Putrajaya, Malaysia.