
Pada awal tahun ini, Bank Negara Malaysia (BNM) telah menerbitkan Dokumen Dasar Perniagaan Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan. Menurut dokumen tersebut, bermula dari September tahun ini, penanggung insurans dan pengendali takaful (ITO) dikehendaki menawar kepada pelanggan pilihan produk insurans dan takaful kesihatan dan perubatan (MHIT) yang mempunyai ciri co-payment atau pembayaran bersama.
Apa maksudnya?
Maksudnya ITO yang belum lagi menawarkan produk yang mempunyai ciri pembayaran bersama perlu menawarkan sekurang-kurangnya satu produk yang mempunyai ciri tersebut.
Produk lain yang tidak mempunyai ciri pembayaran bersama boleh terus ditawarkan kepada pelanggan baharu.
Pelanggan yang sudahpun membeli produk insurans dan takaful yang tidak mempunyai ciri pembayaran bersama, boleh terus dengan produk sedia ada.
BNM juga turut menyatakan bahawa pembayaran bersama tidak terpakai dalam keadaan:
- rawatan kecemasan, termasuk dalam kes kemalangan;
- rawatan pesakit luar bagi rawatan susulan penyakit kritikal seperti barah atau dialisis; atau
- rawatan yang didapati di fasiliti kesihatan kerajaan.
Kenapa nak ada co-payment?
Menurut BNM, inflasi kos perubatan pada tahun 2023 telah melonjak ke 12.6%. Sebagai rujukan, inflasi kos perubatan purata dunia adalah 5.6%. Secara kumulatifnya, inflasi kos perubatan di negara kita telah meningkat sebanyak 36.3% secara kumulatif dari tahun 2020 hingga 2022.
Dengan kata lain, kos perubatan di negara kita telah naik dengan mendadak.
Lonjakan kos ni memberi kesan kepada ITO (untuk membayar tuntutan kos perubatan yang meningkat) dan juga kepada pemegang polisi (yang membayar premium atau sumbangan setiap bulan yang mungkin terpaksa dinaikkan disebabkan lonjakan kos tersebut).
Pengenalan MHIT yang mempunyai ciri pembayaran bersama dikatakan bertujuan untuk memastikan penawaran MHIT yang mapan (sustainable) dan berterusan dan juga dapat menawarkan produk MHIT pada kos yang lebih rendah kepada pengguna.
Menurut BNM, berdasarkan pemerhatian, premium atau sumbangan bagi produk MHIT yang mempunyai ciri co-payment adalah lebih rendah sebanyak 19% hingga 68% berbanding produk serupa tanpa ciri co-payment.
BNM juga menerangkan bahawa penerimagunaan secara lebih meluas secara beransur-ansur produk yang mempunyai ciri pembayaran bersama adalah untuk membantu inflasi kos perubatan dengan cara mengawal penggunaan berlebihan penggunaan penjagaan kesihatan dan mengurangkan tuntutan perubatan palsu.
Apa itu co-payment atau pembayaran bersama?
Co-payment atau pembayaran bersama bermakna sebahagian tuntutan bil hospital perlu ditanggung oleh pemegang polisi walaupun pemegang polisi telah membayar premium atau sumbangan pada setiap bulan. Ini tidak termasuk deduktibel (deductibles) yang perlu dibayar sebelum baki bil hospital dilunaskan oleh ITO, jika berkenaan.
Sebagai contoh, katakan anda pemegang polisi dan anda telah menerima rawatan di hospital swasta dan telah diberi bil hospital sebanyak RM20,000. Kita andaikan keseluruhan RM20,000 itu adalah dalam liputan perlindungan polisi insurans kesihatan. Jika kadar pembayaran bersama adalah 5%, maka anda perlu membayar hospital daripada perbelanjaan sendiri (out-of-pocket) iaitu sebanyak RM1000. Ini tidak termasuk deduktibel yang turut perlu dibayar oleh anda, jika ada dalam perjanjian. Selepas semua itu, barulah ITO akan melunaskan baki bil hospital anda.
Apa kesannya untuk saya?
Anda tidak akan terkesan kalau anda seorang pemegang polisi insurans atau takaful kesihatan sedia ada yang ingin meneruskan polisi sedia ada.
Kalau anda pelanggan baru atau ingin mengubah polisi, anda kini mempunyai pilihan untuk mendapatkan polisi yang mempunyai ciri pembayaran bersama. Lazimnya, produk yang mempunyai co-payment akan mempunyai premium yang lebih rendah yang perlu dibayar setiap bulan berbanding dengan produk tanpa co-payment.
Bagi pemegang polisi yang mempunyai co-payment, anda harus memikirkan untuk mempunyai simpanan yang mencukupi bagi menampung co-payment andainya perlu menuntut kos perubatan daripada ITO pada masa hadapan.
Rujukan
Bank Negara Malaysia. (2024). Policy Document on Medical and Health Insurance/Takaful Business. https://www.bnm.gov.my/documents/20124/938039/pd_mhit_feb2024.pdf
Bank Negara Malaysia. (2024). Maklumat yang Tidak Tepat Mengenai Akses kepada Produk Insurans/Takaful Perubatan dan Kesihatan oleh Ejen dan Wakil Penasihat Kewangan. https://www.bnm.gov.my/-/mhitpd-bm
Bank Negara Malaysia. (2024). Pelaksanaan Keperluan Pembayaran Bersama bagi Produk Insurans dan Takaful Perubatan dan Kesihatan. https://www.bnm.gov.my/-/mhit-req-bm