Baru-baru ni Institut Kesihatan Umum telah menerbitkan Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi atau NHMS 2023.

Apa benda tu?

NHMS 2023 ialah tinjauan atau survei yang dilakukan pada tahun lepas mengenai keadaan kesihatan dalam masyarakat di negara Malaysia.

Mereka menemu ramah beribu-ribu orang di seluruh negara, di samping membuat soal selidik, melakukan penilaian klinikal dan antropometrik, dan membuat ujian darah untuk mengumpul berlemon-lemon data.

Kenapa nak buat tinjauan?

Hasil tinjauan ini dapat memberi gambaran tentang status dan trend kesihatan rakyat Malaysia. Maklumat ini memberi panduan kepada ramai orang. Pembuat dasar dapat tahu status kesihatan masyarakat dan boleh tahu untuk beri fokus kepada isu yang mana. Penyelidik pula dapat maklumat dan data tambahan dan diorang boleh terus, hmm, menyelidik.

Dapatan Terpilih

Kencing manis (diabetes):

  • Prevalens keseluruhan: 16% – Sebanyak 16% orang didapati ada kencing manis.
  • Telah didiagnos: 10% – 10% daripada yang ada kencing manis, tahu mereka ada kencing manis.
  • Tidak tahu: 6% – 6% yang diperiksa ada kencing manis, tak tahu mereka ada kencing manis.

Darah tinggi (hypertension):

  • Prevalens keseluruhan: 29% – Sebanyak 29% orang didapati ada darah tinggi.
  • Telah didiagnos: 17% – 17% daripada yang ada darah tinggi, tahu mereka ada darah tinggi.
  • Tidak tahu: 12% – 12% yang diperiksa ada darah tinggi, tak tahu mereka ada darah tinggi.

Kolesterol:

  • Prevalens keseluruhan: 33% – Sebanyak 33% orang didapati ada kolesterol tinggi.
  • Telah didiagnos: 15% – 15% daripada yang ada kolesterol tinggi, tahu mereka ada kolesterol tinggi.
  • Tidak tahu: 18% – 18% yang diperiksa ada kolesterol tinggi, tak tahu mereka ada kolesterol tinggi.

Berlebihan berat badan dan obesiti:

Trend kegemukan dan obesiti
Trend berlebihan berat badan dan obesiti dalam kalangan dewasa di Malaysia dari tahun 2011 hingga 2023. Sumber: NHMS 2023.
  • Berlebihan berat badan dan obesiti: 54% – Sebanyak 54% didapati mempunyai berat badan yang berlebihan atau mengalami obesiti. Dipecahkan lagi kepada 33% yang berat badannya berlebihan dan sebanyak 21% adalah obes.
  • Trend dari tahun 2011 ke tahun 2023 menunjukkan peningkatan 10%!

Jadi, ya, berdasarkan kajian ini, rakyat Malaysia semakin gemuk.

Risiko kardiovaskular dan strok

Kencing manis, darah tinggi, kolesterol dan obesiti. Apa yang penting sangat empat benda ni?

Semua empat benda ni, jika tak terkawal, meningkatkan risiko untuk mendapat penyakit kardiovaskular dan strok (angin ahmar); dua penyakit yang menjadi penyebab kematian tertinggi di negara kita.

Ada banyak lagi penemuan menarik yang boleh didapati dalam laporan penuh NHMS 2023; termasuklah mengenai aktiviti fizikal, status pemakanan, tabiat merokok, pengambilan alkohol, kesihatan mental, status saringan kesihatan, status asma, ketidakupayaan, tabiat tidur dan permintaan jagaan kesihatan. Go check it out!

Pautan di bawah.

Rujukan

National Health and Morbidity Survey – https://iku.gov.my/nhms-2023

Institut Kesihatan Umum 2024. Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2023:
Penyakit Tidak Berjangkit dan Permintaan Jagaan Kesihatan – Penemuan Utama