Anda mungkin sedang berfikir dan mencari alasan untuk mendapatkan sepasang penjejak kecergasan atau fitness tracker seperti Xiaomi Mi Band, Amazfit Band, Fitbit, Samsung Galaxy Watch, Oura Ring, Whoop atau Apple Watch.

Fitness tracker ialah peranti yang biasanya dipakai pada pergelangan tangan yang dapat mengesan dan menjejak tahap aktiviti anda. Sebagai contoh, fitness tracker boleh mengira bilangan langkah yang anda telah lakukan sepanjang hari. Kebanyakan fitness tracker juga dapat mengesan kadar denyutan jantung dan boleh menjejak corak tidur anda. Tafsiran daripada data ini dapat menentukan, secara kasar, tahap kecergasan anda.

Berikut adalah 5 sebab yang mungkin dapat mempengaruhi anda untuk mendapatkan sepasang fitness tracker:

  1. Peroleh maklumat kendiri yang bernilai
  2. Kekalkan motivasi
  3. Memantapkan rutin senaman
  4. Perbaiki mutu tidur
  5. Bantu membuat keputusan berkaitan kesihatan

Peroleh maklumat kendiri yang bernilai

Seperti yang telah disebut di atas, fitness tracker melangkaui hanya mengira jumlah langkah. Penjejak kecergasan yang baik boleh memantau pelbagai metrik lain seperti kadar denyutan jantung, jumlah kalori yang telah dibakar, corak tidur, dan tahap stress. Data ini dapat memberi anda gambaran yang bernilai mengenai kesihatan dan kecergasan anda, memberi anda peluang untuk mengenal pasti ruangan yang boleh diperbaiki dan seterusnya menyelaras rutin dan tabiat anda.

Kekalkan motivasi

Melihat kemajuan sendiri dengan mata kasar boleh menjadi alat motivasi yang kuat. Fitness tracker memberi maklum balas pada waktu nyata dan membolehkan anda untuk menetapkan matlamat kesihatan dan kecergasan anda sendiri. Sama ada matlamat itu adalah sasaran langkah harian atau memperbaiki kualiti tidur anda, dengan memantau kemajuan kecergasan, boleh membuat anda fokus dan membantu anda untuk mencapai kejayaan.

Memantapkan rutin senaman

Banyak fitness tracker menawarkan ciri-ciri seperti menjejak senaman, GPS dan pemantauan kelajuan larian. Ciri-ciri seperti ini membenarkan anda untuk menganalisa prestasi, mengoptimumkan sesi latihan, dan juga bertanding dengan rakan-rakan secara maya!

Perbaiki mutu tidur

Seperti mana yang kita semua tahu, tidur yang bermutu adalah sangat penting untuk kesihatan dan kesejahteraan kita. Penjejak kecergasan boleh memantau corak tidur anda, termasuk tahap, tempoh, dan kualiti tidur. Maklumat ini dapat membantu mengenal pasti isu semasa tidur dan membolehkan pelarasan rutin dibuat bagi mencapai kesihatan tidur atau sleep hygiene yang lebih baik.

Bantu membuat keputusan berkaitan kesihatan

Lambakan dan tafsiran data yang dikumpul oleh fitness tracker ini, seperti tahap aktiviti, corak tidur dan degupan jantung, boleh membantu anda membuat keputusan berkaitan kesihatan anda. Maklumat ini memberi kuasa kepada individu untuk mengambil peduli dan berbuat sesuatu terhadap kesihatan dan kecergasan secara proaktif. Sesetengah fitness tracker dapat mengesan masalah degupan jantung dan tahap oksigen dalam darah, seterusnya membolehkan anda merujuk kepada seorang doktor untuk mendapatkan penilaian lanjut.

Penutup

Walaupun data yang dikumpul daripada penjejak kecergasan ini mungkin tidak begitu tepat kalau dibandingkan dengan peranti gred perubatan yang terdapat di makmal atau hospital, namun jika digunakan dari hari ke hari, rentetan perkembangan atau trend mengenai kesihatan dan kecergasan yang diperoleh dapat memberi petunjuk bahawa rutin seharian anda adalah baik atau sebaliknya.

Akhir kata, penjejak kecergasan atau fitness tracker adalah suatu alat yang mungkin dapat memberi manfaat kepada sesetengah orang. Jika anda berminat, dapatkan sepasang yang kena dengan bajet anda.

Selamat mencuba.