Apa itu makanan proses ultra?

Anda mungkin selalu dengar mengenai makanan proses ultra (MPU) atau ultra-processed food. Tapi apakah maksud MPU sebenarnya? Dan bukan, makanan proses ultra bukanlah makanan untuk ultraman.

Hampir semua makanan yang kita makan telah diproses. Ikan goreng, contohnya, ikan tersebut telah dibersihkan, dipotong, dibuang bahagian yang tidak mahu dimakan, mungkin dibekukan, dilumur dengan garam dan serbuk kunyit, sebelum digoreng dalam minyak.

Makanan proses ultra atau MPU pula diproses lebih daripada itu, MPU biasanya makanan yang dibuat di kilang, yang mengandungi bahan-bahan makanan yang telah terubah suai secara kimia (chemically modified substances), disamping bahan tambah (additives) untuk menambah rasa, tekstur, rupa bentuk, dan supaya tahan lama.

Contoh MPU ialah makanan segera, hidangan sedia makan, snek bungkus, minuman ringan, minuman tenaga, mi segera, dan banyak lagi yang lain.

Apa yang penting ialah MPU tidak semestinya junk food ataupun makanan rapu seperti kerepek, donut atau minuman ringan semata-mata. Banyak juga MPU yang dipasarkan sebagai ‘pilihan bijak’ ataupun sebagai makanan yang ‘natural’.

Makanan proses ultra tidak semestinya junk food seperti kerepek, donut atau minuman ringan semata-mata.

Kenapa MPU banyak di pasaran?

Pertama sekali, makanan proses ultra adalah sangat menguntungkan kepada pengilang. Bahan-bahan untuk membuatnya murah, dan produk MPU boleh dipamer di kedai untuk tempoh yang panjang kerana mengandungi pengawet, tidak seperti bahan makanan segar. Secara langsung juga, ini menjadikan kebanyakan MPU sebagai pilihan yang tidak begitu mahal untuk didapati oleh orang kebanyakan.

Kedua, mudah dimakan atau convenient. Untuk banyak MPU, anda boleh terus makan begitu sahaja atau cuma memerlukan langkah-langkah penyediaan yang mudah dan cepat.

Ketiga, sangat sedap. Bahan-bahan tambahan seperti perasa, perencah, pemanis, dan pengemulsi makanan menjadikan MPU lebih menarik, lebih lazat, dan mungkin juga lebih ketagih.

Keempat, pemasaran atau marketing yang hebat. Bungkusan dan iklan menarik yang terdapat di merata-rata tempat bertujuan untuk menggoda sebanyak orang yang mungkin untuk mendapatkan produk-produk MPU ini.

Kajian

MPU telah dikaitkan secara terus dengan banyak kesan buruk kepada kesihatan termasuklah peningkatan risiko sakit jantung, barah, kencing manis dan gangguan kesihatan mental.

Ini merupakan dapatan satu kajian analisis meta yang telah diterbitkan dalam British Medical Journal (BMJ) pada awal tahun ini. Kajian ini telah mengumpul sebanyak 45 buah kajian terdahulu yang melibatkan sebanyak 10 juta peserta berkaitan kesan MPU kepada kesihatan dan menganalisa dapatan kajian-kajian itu.

Dapatan Terpilih

Kajian ini mendapati pengambilan MPU yang lebih tinggi dikaitkan dengan peningkatan risiko kematian disebabkan penyakit kardiovaskular sebanyak 50%. Selain itu, ini juga dikaitkan dengan peningkatan risiko menghidap kencing manis jenis 2 sebanyak 12%.

Apa yang menarik ialah risiko yang lebih tinggi juga untuk keadaan keresahan atau anxiety turut dikaitkan dengan pengambilan MPU yang lebih tinggi, iaitu sebanyak lebih kurang 48%. Risiko kemurungan atau depression juga dikaitkan dengan pengambilan MPU yang lebih tinggi, iaitu sebanyak 22%.

Selain itu, pengkaji menemukan kaitan antara pengambilan MPU dengan penyakit-penyakit lain seperti barah, gangguan pernafasan (seperti asma) dan juga gangguan gastrointestinal.

Pendek kata, makanan proses ultra tak elok untuk kesihatan.

Gambar oleh Peter Bond di Unsplash

Rumusan

Pengajaran daripada kajian ini kepada kita ialah: kurangkanlah MPU sebanyak mungkin. Memang susah kerana MPU berada di mana-mana dalam komuniti kita dengan harga yang berpatutan dimana bagi sesetengah orang, makanan alternatif yang lebih sihat mungkin bukanlah suatu pilihan yang mesra bajet.

Rujukan

Lane M M, Gamage E, Du S, Ashtree D N, McGuinness A J, Gauci S et al. Ultra-processed food exposure and adverse health outcomes: umbrella review of epidemiological meta-analyses BMJ 2024; 384 :e077310 doi:10.1136/bmj-2023-077310

Monteiro CA, Cannon G, Levy RB, et al. Ultra-processed foods: what they are and how to identify them. Public Health Nutrition. 2019;22(5):936-941. doi:10.1017/S1368980018003762